Anak-anak Krisdayanti tidak mahu bertemu Kris
Krisdayanti yang mempunyai dua orang anak Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, mengakui sudah sebulan tidak bertemu dengan anak-anaknya yang berada di bawah jagaan Anang. Kris dan Anang sudah sebulan tidak tinggal sebumbung.
“Sudah sebulan saya tidak bertemu anak-anak, walaupun kita tidak terpisah dengan jarak yang jauh. Hati saya sedih berdepan semua ini, nyawa saya seperti hilang,” tuturnya.
Kata Krisdayanti, bukan hanya Anang yang membataskan peluang untuk bertemu anak-anaknya, malah, kedua-duanya juga tidak mahu bertemu dengan ibu mereka sendiri.
Namun, kata Krisdayanti, dia tidak pernah menyimpan perasaan marah mahupun dendam dan menganggap apa yang berlaku adalah satu cubaan untuk dirinya.
Kali terakhir Kris mengetahui perkembangan anak-anaknya adalah dari guru mereka seminggu yang lalu.
“Saya berkomunikasi dengan guru mereka dan kata guru Aurel, dia sudah datang haid. Alhamdulillah, dia sudah menjadi perempuan dewasa,” ujar Krisdayanti dalam keadaan sebak.